Bismillahirahmanirrahim….Assalamualaikum….hurmmmmm
ni entri kedua untuk subjek Pengantar Penulisan. Untuk entri kali ini, saya
pilih tentang isu kemalangan yang berpunca dari sikap pemandu itu sendiri. Tajuk ini dipilih kerana kadar kemalangan
semakin meningkat di Malaysia.
Setiap
hari kita dihidangkan dengan pelbagai kes kemalangan yang berlaku di Malaysia.
Kadar kemalangan di Malaysia berada di paras yang membimbangkan. Walaupun telah
banyak usaha yang dijalankan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini tetapi ia
tetap tidak membantu. Hal ini terjadi disebabkan sikap pemandu itu sendiri.
Mengikut
MUFORS (Malaysian Unite for Road Safety) berdasarkan kajian yang telah
dijalankan oleh mereka, sebanyak 61.1 peratus daripada responden bersetuju
bahawa kemalangan yang sering berlaku adalah berpunca daripada faktor pemandu
itu sendiri. Hal ini telah menunjukkan bahawa, tingkah laku pemandu merupakan
penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya.
Menurut
MUFORS lagi, kenyataan bahawa secara puratanya di Malaysia 18 orang terbunuh
setiap hari yang berpunca daripada kemalangan jalan raya. Jumlah ini adalah
besar. Oleh itu sudah tiba masanya untuk pemandu-pemandu mengubah cara berfikir
ketika berada di jalan raya. Pemandu-pemandu perlu memikirkan keselamatan orang
lain juga ketika berada di jalan raya sebelum bertindak melakukan kesalahan.
Dalam setiap kereta mungkin terdapat, seorang bapa yang keluar mencari rezeki
untuk keluarga, seorang ibu yang menghantar anak-anaknya ke sekolah dan
sebagainya. Mereka ini semua tidak layak untuk mati disebabkan sikap negatif
oleh sesetengah pemandu.
Hasil
penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan Pengangkutan Jalan
(2002) menunjukkan bahawa, setengah juta rakyat Malaysia yang meninggal dunia
kerana kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh tingkah laku pemandu,
kegagalan peralatan kenderaan, keadaan jalan raya dan infrastruktur.
Walaubagaimanapun, tingkah laku negatif pemandulah yang menjadi punca terbesar
yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.
Antara
tingkah laku negatif yang selalu dilakukan adalah seperti pemanduan agresif. Pemanduan
agresif boleh dilihat dalam pelbagai bentuk seperti memandu laju, melanggar
peraturan jalan raya, memotong secara tiba-tiba, memandu terlalu rapat dengan
kereta di hadapan dan lain-lain lagi. Sikap pemanduan agresif ini dilakukan
oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi mereka tidak menyedari akan hakikat
itu.
Satu
persidangan iaitu Global Web Conference on Aggressive Driving Issues telah
diadakan di Kanada pada bulan Oktober 2000, dalam perbincangannya, ia telah
menyatakan bahawa pemanduan agresif jika ia sengaja dilakukan ia akan
meningkatkan risiko pelanggaran yang didorong oleh sikap tidak sabar,
kegusaran, pemusuhan atau percubaan untuk menjimatkan masa.
Pemanduan
agresif berlaku disebabkan banyak faktor iaitu dalaman dan luaran. Faktor
dalaman mungkin adalah disebabkan emosi tidak stabil, psikologi, dan lain-lain.
Manakala faktor luaran pula mungkin disebabkan peniruan oleh apa yang dilakukan
oleh pemandu lain, aktiviti cabar-mencabar di jalan raya, dan lain-lain. Ini juga dirujuk sebagai
“vigilante” termasuklah sikap negatif di jalan raya, memandu terlalu dekat
dengan kenderaan dihadapan, sengaja menyekat lorong kanan, brek secara
tiba-tiba sebagai amaran kepada kenderaan di belakang, menjerit atau membuat
isyarat lucah kepada pemandu lain dan lain-lain lagi.
Kesemua
tingkah laku ini banyak menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya di
Malaysia. Pelbagai tindakan telah dilakukan oleh kerajaan dan badan bukan
kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini. Setiap tahun, berpuluh-puluh
kempen keselamatan jalan raya dijalankan oleh pelbagai pihak tetapi ia masih
tidak memberi kesedaran kepada pemandu-pemandu di Malaysia. Langkah lain yang
dijalankan seperti AES (Automated Enforcement System), black box, sistem
KEJARA, dan sebagainya hanya membantu kerajaan untuk mengurangkan sedikit
sahaja kadar kemalangan.
Kadar
kemalangan di Malaysia hanya dapat dikurangkan jika setiap pemandu menjaga
sikap mereka ketika berada dijalan raya. Pemandu-pemandu perlu saling hormat
menghormati, mengikut peraturan yang ditetapkan, tidak gopoh dan sebagainya.
Jika semua pemandu-pemandu di Malaysia bersikap positif ketika berada di jalan
raya, ia akan membantu Malaysia untuk mengurangkan kadar kemalangan dengan
cepat. Para pemandu di Malaysia perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja
bertanggungjawab terhadap diri mereka dan keluarga mereka ketika berada di
jalan raya tetapi mereka juga bertanggungjawab terhadap keselamatan pemandu dan
pengguna jalan raya yang lain.
Kesimpulannya,
faktor pemandu adalah penyumbang terbesar kepada berlakunya kemalangan jalan
raya di Malaysia. Kesemua pihak perlu berkerjasama untuk mengubah sikap
pemandu, dan mengatasi faktor-faktor lain yang menjadi punca berlakunya
kemalangan seperti faktor jalan dan kenderaan, ia mungkin dapat membantu
mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment