Monday 23 September 2013

PENINGKATAN KADAR KEMALANGAN DI MALAYSIA ADALAH BERPUNCA DARI FAKTOR PEMANDU ITU SENDIRI



Bismillahirahmanirrahim….Assalamualaikum….hurmmmmm ni entri kedua untuk subjek Pengantar Penulisan. Untuk entri kali ini, saya pilih tentang isu kemalangan yang berpunca dari sikap pemandu itu sendiri.  Tajuk ini dipilih kerana kadar kemalangan semakin meningkat di Malaysia.
            Setiap hari kita dihidangkan dengan pelbagai kes kemalangan yang berlaku di Malaysia. Kadar kemalangan di Malaysia berada di paras yang membimbangkan. Walaupun telah banyak usaha yang dijalankan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini tetapi ia tetap tidak membantu. Hal ini terjadi disebabkan sikap pemandu itu sendiri.
            Mengikut MUFORS (Malaysian Unite for Road Safety) berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh mereka, sebanyak 61.1 peratus daripada responden bersetuju bahawa kemalangan yang sering berlaku adalah berpunca daripada faktor pemandu itu sendiri. Hal ini telah menunjukkan bahawa, tingkah laku pemandu merupakan penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya.
            Menurut MUFORS lagi, kenyataan bahawa secara puratanya di Malaysia 18 orang terbunuh setiap hari yang berpunca daripada kemalangan jalan raya. Jumlah ini adalah besar. Oleh itu sudah tiba masanya untuk pemandu-pemandu mengubah cara berfikir ketika berada di jalan raya. Pemandu-pemandu perlu memikirkan keselamatan orang lain juga ketika berada di jalan raya sebelum bertindak melakukan kesalahan. Dalam setiap kereta mungkin terdapat, seorang bapa yang keluar mencari rezeki untuk keluarga, seorang ibu yang menghantar anak-anaknya ke sekolah dan sebagainya. Mereka ini semua tidak layak untuk mati disebabkan sikap negatif oleh sesetengah pemandu.
            Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan Pengangkutan Jalan (2002) menunjukkan bahawa, setengah juta rakyat Malaysia yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh tingkah laku pemandu, kegagalan peralatan kenderaan, keadaan jalan raya dan infrastruktur. Walaubagaimanapun, tingkah laku negatif pemandulah yang menjadi punca terbesar yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.
            Antara tingkah laku negatif yang selalu dilakukan adalah seperti pemanduan agresif. Pemanduan agresif boleh dilihat dalam pelbagai bentuk seperti memandu laju, melanggar peraturan jalan raya, memotong secara tiba-tiba, memandu terlalu rapat dengan kereta di hadapan dan lain-lain lagi. Sikap pemanduan agresif ini dilakukan oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi mereka tidak menyedari akan hakikat itu.
            Satu persidangan iaitu Global Web Conference on Aggressive Driving Issues telah diadakan di Kanada pada bulan Oktober 2000, dalam perbincangannya, ia telah menyatakan bahawa pemanduan agresif jika ia sengaja dilakukan ia akan meningkatkan risiko pelanggaran yang didorong oleh sikap tidak sabar, kegusaran, pemusuhan atau percubaan untuk menjimatkan masa.
            Pemanduan agresif berlaku disebabkan banyak faktor iaitu dalaman dan luaran. Faktor dalaman mungkin adalah disebabkan emosi tidak stabil, psikologi, dan lain-lain. Manakala faktor luaran pula mungkin disebabkan peniruan oleh apa yang dilakukan oleh pemandu lain, aktiviti cabar-mencabar di jalan raya,  dan lain-lain. Ini juga dirujuk sebagai “vigilante” termasuklah sikap negatif di jalan raya, memandu terlalu dekat dengan kenderaan dihadapan, sengaja menyekat lorong kanan, brek secara tiba-tiba sebagai amaran kepada kenderaan di belakang, menjerit atau membuat isyarat lucah kepada pemandu lain dan lain-lain lagi.
            Kesemua tingkah laku ini banyak menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Pelbagai tindakan telah dilakukan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini. Setiap tahun, berpuluh-puluh kempen keselamatan jalan raya dijalankan oleh pelbagai pihak tetapi ia masih tidak memberi kesedaran kepada pemandu-pemandu di Malaysia. Langkah lain yang dijalankan seperti AES (Automated Enforcement System), black box, sistem KEJARA, dan sebagainya hanya membantu kerajaan untuk mengurangkan sedikit sahaja kadar kemalangan.
            Kadar kemalangan di Malaysia hanya dapat dikurangkan jika setiap pemandu menjaga sikap mereka ketika berada dijalan raya. Pemandu-pemandu perlu saling hormat menghormati, mengikut peraturan yang ditetapkan, tidak gopoh dan sebagainya. Jika semua pemandu-pemandu di Malaysia bersikap positif ketika berada di jalan raya, ia akan membantu Malaysia untuk mengurangkan kadar kemalangan dengan cepat. Para pemandu di Malaysia perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja bertanggungjawab terhadap diri mereka dan keluarga mereka ketika berada di jalan raya tetapi mereka juga bertanggungjawab terhadap keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.

            Kesimpulannya, faktor pemandu adalah penyumbang terbesar kepada berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Kesemua pihak perlu berkerjasama untuk mengubah sikap pemandu, dan mengatasi faktor-faktor lain yang menjadi punca berlakunya kemalangan seperti faktor jalan dan kenderaan, ia mungkin dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia. 



No comments:

Post a Comment