Monday 30 September 2013

REMAJA: PUNCA DAN KESAN GEJALA SOSIAL


Bismillahirahmanirrahim….Assalamualaikum wahai semua hamba Allah…jumpa lagi kita ye… Entri kali ni merupakan entri yang ketiga dan merupakan entri yang terakhir untuk subjek pengantar penulisan… Isu yang dipilih kali ini merupakan isu yang sentiasa berulanag-ulang. Hal ini adalah kerana isu ini masih berterusan malah makin teruk dari hari ke hari iaitu masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin meruncing dan kesan-kesannya.
                Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya dalam kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil anak luar nikah yang diikuti dengan pembuangan bayi di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Isu-isu remaja seperti ini semakin banyak dilaporkan di dada-dada akhbar dan televisyen.
            Terdapat pelbagai faktor dan punca yang menyebabkan isu ini masih berterusan sehingga ke hari ini. Antara punca-puncanya ialah:
  1. 1.       Media Massa

Dalam era globalisasi kini, peranan media massa menjadi antara punca utama yang menyumbang kepada berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja. Teknologi yang serba canggih dari semasa ke semasa memudahkan remaja untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Maklumat daripada teknologi ini ada yang negatif dan positif. Walaubagaimanapun, remaja kini lebih tertarik kepada maklumat negatif seperti filem dari barat yang mempunyai unsur-unsur negatif yang mempengaruhi remaja di Malaysia. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat menimbulkan perasaan ingin tahu dan mencuba sendiri mengikut apa yang ditonton. Hal ini akan menyebabkan remaja terjebak ke dalam gejala sosial yang tidak sihat.
  1. 2.       Internet

Internet amat penting dalam pembangunan bangsa dan negara. Ia mengandungi banyak maklumat yang dapat membantu pembangunan negara. Walau bagaimanapun, diantara maklumat yang terdapat dalam internet terdapat sesetengahnya merupakan maklumat negatif seperti cerita, video dan gambar yang tidak elok. Melalui internet, masyarakat yang berfikiran kurang sihat dengan mudahnya boleh akses kepada maklumat-maklumat yang boleh menjurus ke arah pemikiran negatif.
  1. 3.       Pendidikan Agama yang Kurang

Pendidikan agama sangat penting dalam mencorak akhlak seseorang remaja itu. Remaja yang mempunyai didikan agama yang tinggi mungkin kurang untuk terjebak dalam masalah sosial seperti pergaulan bebas, melepak, dan lain-lain. Berlainan pula dengan remaja yang kurang didikan agamanya.
  1. 4.       Pengaruh Rakan Sebaya

Rakan juga mempengaruhi dalam mencorak akhlak seseorang remaja. Pengaruh rakan sebaya adalah salah satu perkara yang menjadi punca berlakunya gejala sosial. Perkara ini sering berlaku di kalangan remaja-remaja sekarang yang hidup di dalam alam penuh dengan kemajuan. Ini adalah kerana remaja pada masa sekarang lebih mesra dengan rakan mereka kerana ibubapa sibuk dengan urusan kerja dan lain-lain. Ada sesetengah remaja meluangkan masa hampir penuh bersama rakan-rakannya. Di sebabkan itu, remaja sekarang lebih mengenali rakan mereka berbanding dengan ibubapa sendiri dan lebih mempercayai rakan mereka daripada keluarga atau ibubapa. Kejadian seperti ini adalah amat bahaya dan boleh mengakibatkan remaja tersebut terjerumus dalam gejala sosial yang tidak sihat.
  1. 5.       Pengaruh Artis

Artis juga turut menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja. Konsert-konsert penyanyi dari negara Barat yang ditayangkan turut membawa impak buruk. Penyanyi dari Barat, terionjak-ionjak memakai jeans yang terkoyak sehingga menjadi kegilaan dan idola remaja. Sekali gus, hal ini turut menjajah minda remaja kerana mereka berfikir semua perkara yang baik datang dari Barat. Amalan-amalan tidak sihat seperti minum arak dan menagih dadah turut menjadi ikutan muda-mudi. Melalui majalah-majalah pula, artis-artis tempatan yang kononnya menjadi contoh dan teladan sebenarnya semakin membawa remaja ke arab kemaksiatan dan keruntuhan moral. Kandungan majalah dan gambar-gambar yang memaparkan unsur pendedahan aurat yang keterlaluan serta menjolok mata semata-mata untuk mengaut keuntungan yang maksima menyebabkan rosak minda para remaja.

          
          Masalah gejala sosial di dalam kalangan remaja yang berpunca daripada faktor diatas akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam diri individu, masyarakat dan Negara.  Remaja pada hari ini merupakan aset utama dan sangat penting dalam pembangunan negara pada masa akan datang. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja dan masyarakat pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk menanganani permasalahan yang kian meruncing ini, ini menjadikan pembentukkan jati diri dan kemuliaan akhlak rapuh dari mata masyarakat kita sendiri.Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka peribadi seseorang individu itu juga akan menjadi buruk. Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.
1.       Individu
Seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotoranya, ianya terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya. Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyankkan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan Negara. Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu.
2.       Keluarga
Keluarga memainkan peranan yang sangat penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu terbentuk. Keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian yang dialami sesuatu masyarakat. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.
3.       Masyarakat
 Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa pada masa kini ialah dengan melihat akhlak dan moral sesuatu masyarakat. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan masyarakat. Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan, maka tidak hairanlah suatu hari nanti, akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Namun begitu terdapat kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dibendung dengan segera. Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Akibatnya perasaan buruk dan prasangka akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. Hal ini menberi kesan apabila berlaku pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.
4.       Negara
 Implikasi utama terhadap negara jika gejala sosial tidak ditengani segera akan menyebabkan negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Hal ini akan menjadikan kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan sosioekonomi negara menjadi lembap kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat. Perkara ini menjadikan kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial ia sekaligus meningkatkan kos perbelajaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah. Seterusnya anasir-anasir luar akan meresap masuk kedalam negara sekiranya generasi muda pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Dan, kesan paling utama ialah remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini tentulah serong dan buruk.
           
            Kesimpulannya,  isu gejala sosial sering kita dengar telah mendatangkan kebimbangan walaupun kita telah mengetahui punca kepada masalah ini dan kita juga telah nampak kesan-kesan yang kita hadapi sekarang seperti kes pembuangan bayi, mat rempit, pelacuran dan sebagainya tapi kita masih tidak dapat mengatasi masalah ini walaupun kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen tapi masih tidak berjaya dan adakah ini berpunca undang-undang Malaysia yang masih tidak di perketatkan ataupun berpunca dari sikap ibu bapa yang tidak peduli dan sibuk mencari duit hingga tidak tahu apa yang masalah anak mereka ataupun berpunca dari dari masyrakat sekeliling yang cuba lepas tangan dengan menunding jari ke arah orang lain ataupun guru-guru yang tidak mengajar dengan baik tentang adab-adab pergaulan sesama remaja ataupun diri sendiri yang patut dipersalahkan kerana tersalah pilih kawan seperti kata-kata perumpamaan ini "jika kita berkawan dengan anak penjual minyak wangi akan mendapat bau wangi tapi kalau kalau kita berkawan dengan anak penjual kambing kita akan mendapat bau busuknya" atau berpunca pada sikap diri sendiri yang mencuba sesuatu benda baru tapi memikirkan kesannya pada diri kita. Walaupun kita menunding jari diantara satu sama lain masalah ini tidak selesaikan kerana untuk mengatasi maslah ini kita hendaklah bekerjasama antara kita seperti kata perumpamaan ini "bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh". Oleh itu hendaklah kita bekerjasama sesama kita tanpa perlu menunding jari antara kita.


Monday 23 September 2013

PENINGKATAN KADAR KEMALANGAN DI MALAYSIA ADALAH BERPUNCA DARI FAKTOR PEMANDU ITU SENDIRI



Bismillahirahmanirrahim….Assalamualaikum….hurmmmmm ni entri kedua untuk subjek Pengantar Penulisan. Untuk entri kali ini, saya pilih tentang isu kemalangan yang berpunca dari sikap pemandu itu sendiri.  Tajuk ini dipilih kerana kadar kemalangan semakin meningkat di Malaysia.
            Setiap hari kita dihidangkan dengan pelbagai kes kemalangan yang berlaku di Malaysia. Kadar kemalangan di Malaysia berada di paras yang membimbangkan. Walaupun telah banyak usaha yang dijalankan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini tetapi ia tetap tidak membantu. Hal ini terjadi disebabkan sikap pemandu itu sendiri.
            Mengikut MUFORS (Malaysian Unite for Road Safety) berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh mereka, sebanyak 61.1 peratus daripada responden bersetuju bahawa kemalangan yang sering berlaku adalah berpunca daripada faktor pemandu itu sendiri. Hal ini telah menunjukkan bahawa, tingkah laku pemandu merupakan penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya.
            Menurut MUFORS lagi, kenyataan bahawa secara puratanya di Malaysia 18 orang terbunuh setiap hari yang berpunca daripada kemalangan jalan raya. Jumlah ini adalah besar. Oleh itu sudah tiba masanya untuk pemandu-pemandu mengubah cara berfikir ketika berada di jalan raya. Pemandu-pemandu perlu memikirkan keselamatan orang lain juga ketika berada di jalan raya sebelum bertindak melakukan kesalahan. Dalam setiap kereta mungkin terdapat, seorang bapa yang keluar mencari rezeki untuk keluarga, seorang ibu yang menghantar anak-anaknya ke sekolah dan sebagainya. Mereka ini semua tidak layak untuk mati disebabkan sikap negatif oleh sesetengah pemandu.
            Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan Pengangkutan Jalan (2002) menunjukkan bahawa, setengah juta rakyat Malaysia yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh tingkah laku pemandu, kegagalan peralatan kenderaan, keadaan jalan raya dan infrastruktur. Walaubagaimanapun, tingkah laku negatif pemandulah yang menjadi punca terbesar yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.
            Antara tingkah laku negatif yang selalu dilakukan adalah seperti pemanduan agresif. Pemanduan agresif boleh dilihat dalam pelbagai bentuk seperti memandu laju, melanggar peraturan jalan raya, memotong secara tiba-tiba, memandu terlalu rapat dengan kereta di hadapan dan lain-lain lagi. Sikap pemanduan agresif ini dilakukan oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi mereka tidak menyedari akan hakikat itu.
            Satu persidangan iaitu Global Web Conference on Aggressive Driving Issues telah diadakan di Kanada pada bulan Oktober 2000, dalam perbincangannya, ia telah menyatakan bahawa pemanduan agresif jika ia sengaja dilakukan ia akan meningkatkan risiko pelanggaran yang didorong oleh sikap tidak sabar, kegusaran, pemusuhan atau percubaan untuk menjimatkan masa.
            Pemanduan agresif berlaku disebabkan banyak faktor iaitu dalaman dan luaran. Faktor dalaman mungkin adalah disebabkan emosi tidak stabil, psikologi, dan lain-lain. Manakala faktor luaran pula mungkin disebabkan peniruan oleh apa yang dilakukan oleh pemandu lain, aktiviti cabar-mencabar di jalan raya,  dan lain-lain. Ini juga dirujuk sebagai “vigilante” termasuklah sikap negatif di jalan raya, memandu terlalu dekat dengan kenderaan dihadapan, sengaja menyekat lorong kanan, brek secara tiba-tiba sebagai amaran kepada kenderaan di belakang, menjerit atau membuat isyarat lucah kepada pemandu lain dan lain-lain lagi.
            Kesemua tingkah laku ini banyak menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Pelbagai tindakan telah dilakukan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini. Setiap tahun, berpuluh-puluh kempen keselamatan jalan raya dijalankan oleh pelbagai pihak tetapi ia masih tidak memberi kesedaran kepada pemandu-pemandu di Malaysia. Langkah lain yang dijalankan seperti AES (Automated Enforcement System), black box, sistem KEJARA, dan sebagainya hanya membantu kerajaan untuk mengurangkan sedikit sahaja kadar kemalangan.
            Kadar kemalangan di Malaysia hanya dapat dikurangkan jika setiap pemandu menjaga sikap mereka ketika berada dijalan raya. Pemandu-pemandu perlu saling hormat menghormati, mengikut peraturan yang ditetapkan, tidak gopoh dan sebagainya. Jika semua pemandu-pemandu di Malaysia bersikap positif ketika berada di jalan raya, ia akan membantu Malaysia untuk mengurangkan kadar kemalangan dengan cepat. Para pemandu di Malaysia perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja bertanggungjawab terhadap diri mereka dan keluarga mereka ketika berada di jalan raya tetapi mereka juga bertanggungjawab terhadap keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.

            Kesimpulannya, faktor pemandu adalah penyumbang terbesar kepada berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Kesemua pihak perlu berkerjasama untuk mengubah sikap pemandu, dan mengatasi faktor-faktor lain yang menjadi punca berlakunya kemalangan seperti faktor jalan dan kenderaan, ia mungkin dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia. 



ISU: MAHASISWI BERNIQAB

Bismillahirrahmanirrahim....Assalammualaikum...entri ini ditulis kerana ia merupakan tugasan yang perlu saya lakukan untuk subjek Pengantar Penulisan. Walaubagaimanapun, isu ini saya pilih adalah kerana saya juga membangkang isu pengharaman purdah di kalangan mahasiswi IPT. Hal ini adalah kerana, saya juga mempunyai cita-cita untuk berniqab… InsyaAllah..
            Isu ini terjadi adalah kerana ramai oaring diluar sana yang masih tidak tahu tentang apa itu niqab dan hukum-hukumnya. Jadi, disini saya ingin menberitahu serba sedikit berkaitan niqab, hukumnya dan pendapat dari empat mazhab. Saya masih belajar mendalami agama Islam, jika ada terkurang atau tersilap di mana-mana, saya harap ada yang sudi perbetulkan saya..

Apa itu NIQAB / PURDAH?
            Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.

Pendapat 4 Mazhab.

Mazhab Hanafi
Pendapat Mazhab Hanafi, wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhawatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.
* Asy Syaranbalali berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها باطنهما وظاهرهما في الأصح ، وهو المختار
“Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar, ini pendapat yang lebih shahih dan merupakan pilihan madzhab kami“ (Matan Nuurul Iidhah)
* Al Imam Muhammad ‘Alaa-uddin berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وقدميها في رواية ، وكذا صوتها، وليس بعورة على الأشبه ، وإنما يؤدي إلى الفتنة ، ولذا تمنع من كشف وجهها بين الرجال للفتنة
“Seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam. Dalam suatu riwayat, juga telapak tangan luar. Demikian juga suaranya. Namun bukan aurat jika dihadapan sesama wanita. Jika cenderung menimbulkan fitnah, dilarang menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki” (Ad Durr Al Muntaqa, 81)
* Al Allamah Al Hashkafi berkata:
والمرأة كالرجل ، لكنها تكشف وجهها لا رأسها ، ولو سَدَلَت شيئًا عليه وَجَافَتهُ جاز ، بل يندب
“Aurat wanita dalam solat itu seperti aurat lelaki. Namun wajah wanita itu dibuka sedangkan kepalanya tidak. Andai seorang wanita memakai sesuatu di wajahnya atau menutupnya, boleh, bahkan dianjurkan” (Ad Durr Al Mukhtar, 2/189)
* Al Allamah Ibnu Abidin berkata:
تُمنَعُ من الكشف لخوف أن يرى الرجال وجهها فتقع الفتنة ، لأنه مع الكشف قد يقع النظر إليها بشهوة
“Terlarang bagi wanita menampakan wajahnya kerana khuatir akan dilihat oleh para lelaki, kemudian timbullah fitnah. Kerana jika wajah dinampakkan, lelaki melihatnya dengan syahwat” (Hasyiah ‘Alad Durr Al Mukhtaar, 3/188-189)
* Al Allamah Ibnu Najiim berkata:
قال مشايخنا : تمنع المرأة الشابة من كشف وجهها بين الرجال في زماننا للفتنة
“Para ulama mazhab kami berkata bahawa dilarang bagi wanita muda untuk menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki di zaman kita ini, kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah” (Al Bahr Ar Raaiq, 284)
Beliau berkata demikian di zaman beliau, (wafat pada tahun 970 H), bagaimana dengan zaman kita sekarang?

Mazhab Malik
Mazhab Maliki berpendapat bahwa wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama yang bermazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.
* Az Zarqaani berkata:
وعورة الحرة مع رجل أجنبي مسلم غير الوجه والكفين من جميع جسدها ، حتى دلاليها وقصَّتها . وأما الوجه والكفان ظاهرهما وباطنهما ، فله رؤيتهما مكشوفين ولو شابة بلا عذر من شهادة أو طب ، إلا لخوف فتنة أو قصد لذة فيحرم ، كنظر لأمرد ، كما للفاكهاني والقلشاني
“Aurat wanita di depan lelaki muslim ajnabi adalah seluruh tubuh selain wajah dan telapak tangan. Bahkan suara wanita juga aurat. Sedangkan wajah, telapak tangan luar dan dalam, boleh dinampakkan dan dilihat oleh kaum lelaki walaupun wanita tersebut masih muda baik sekadar melihat ataupun untuk tujuan perubatan. Kecuali jika dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau tujuan lelaki melihat wanita untuk bersuka-suka, maka hukumnya haram, sebagaimana haramnya melihat amraad. Hal ini juga diungkapkan oleh Al Faakihaani dan Al Qalsyaani” (Syarh Mukhtashar Khalil, 176)
* Ibnul Arabi berkata:
والمرأة كلها عورة ، بدنها ، وصوتها ، فلا يجوز كشف ذلك إلا لضرورة ، أو لحاجة ، كالشهادة عليها ، أو داء يكون ببدنها ، أو سؤالها عما يَعنُّ ويعرض عندها
“Wanita itu seluruhnya adalah aurat. Baik badannya mahupun suaranya. Tidak boleh menampakkan wajahnya kecuali dalam keadaan darurat atau ada keperluan mendesak seperti persaksian atau perubatan pada badannya, atau kita dipertanyakan apakah ia adalah orang yang dimaksud (dalam sebuah persoalan)” (Ahkaamul Qur’an, 3/1579)
* Al Qurthubi berkata:
قال ابن خُويز منداد ــ وهو من كبار علماء المالكية ـ : إن المرأة اذا كانت جميلة وخيف من وجهها وكفيها الفتنة ، فعليها ستر ذلك ؛ وإن كانت عجوزًا أو مقبحة جاز أن تكشف وجهها وكفيها
“Ibnu Juwaiz Mandad – ia adalah ulama besar Maliki – berkata: Jika seorang wanita itu cantik dan khuatir wajahnya dan telapak tangannya menimbulkan fitnah, hendaknya dia menutup wajahnya. Jika dia wanita tua atau wajahnya buruk/hodoh, boleh baginya menampakkan wajahnya” (Tafsir Al Qurthubi, 12/229)
* Al Hathab berkata:
واعلم أنه إن خُشي من المرأة الفتنة يجب عليها ستر الوجه والكفين . قاله القاضي عبد الوهاب ، ونقله عنه الشيخ أحمد زرّوق في شرح الرسالة ، وهو ظاهر التوضيح
“Ketahuilah, jika dikhuatirkan terjadi fitnah, maka wanita wajib menutup wajah dan telapak tangannya. Ini dikatakan oleh Al Qadhi Abdul Wahhab, juga dinukil oleh Syaikh Ahmad Zarruq dalam Syarhur Risaalah. Dan inilah pendapat yang lebih tepat” (Mawahib Jaliil, 499)
* Al Allamah Al Banaani, menjelaskan pendapat Az Zarqani di atas:
وهو الذي لابن مرزوق في اغتنام الفرصة قائلًا : إنه مشهور المذهب ، ونقل الحطاب أيضًا الوجوب عن القاضي عبد الوهاب ، أو لا يجب عليها ذلك ، وإنما على الرجل غض بصره ، وهو مقتضى نقل مَوَّاق عن عياض . وفصَّل الشيخ زروق في شرح الوغليسية بين الجميلة فيجب عليها ، وغيرها فيُستحب
“Pendapat tersebut juga dikatakan oleh Ibnu Marzuuq dalam kitab Ightimamul Furshah, katanya : ‘Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki’. Al Hathab juga menukil dari perkataan Al Qadhi Abdul Wahhab bahawa hukumnya wajib. Sebahagian ulama bermazhab Maliki menyebutkan pendapat bahawa hukumnya tidak wajib, namun lelaki wajib menundukkan pandangannya. Pendapat ini dinukil Mawwaq dari Iyadh. Syeikh Zarruq dalam kitab Syarhul Waghlisiyyah memperincikan, jika cantik maka wajib, jika tidak cantik maka ianya sunnah” (Hasyiyah ‘Ala Syarh Az Zarqaani, 176)

Mazhab Syafi’ie
Pendapat mazhab Syafi’ie, aurat wanita di depan lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah seluruh tubuh. Sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah di hadapan lelaki ajnabi. Inilah pendapat mu’tamad mazhab Syafi’ie.
* Asy Syarwani berkata:
إن لها ثلاث عورات : عورة في الصلاة ، وهو ما تقدم ـ أي كل بدنها ما سوى الوجه والكفين . وعورة بالنسبة لنظر الأجانب إليها : جميع بدنها حتى الوجه والكفين على المعتمد وعورة في الخلوة وعند المحارم : كعورة الرجل »اهـ ـ أي ما بين السرة والركبة ـ
“Wanita memiliki tiga jenis aurat, (1) aurat dalam solat -sebagaimana telah dijelaskan- iaitu seluruh badan kecuali wajah dan telapak tangan, (2) aurat terhadap pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh termasuk wajah dan telapak tangan, menurut pendapat yang mu’tamad, (3) aurat ketika berdua bersama yang mahram, sama seperti lelaki, iaitu antara pusar dan paha” (Hasyiah Asy Syarwani ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 2/112)
* Syaikh Sulaiman Al Jamal berkata:
غير وجه وكفين : وهذه عورتها في الصلاة . وأما عورتها عند النساء المسلمات مطلقًا وعند الرجال المحارم ، فما بين السرة والركبة . وأما عند الرجال الأجانب فجميع البدن
“Maksud perkataan An Nawawi ‘aurat wanita adalah selain wajah dan telapak tangan’, ini adalah aurat di dalam solat. Adapun aurat wanita muslimah secara mutlak di hadapan lelaki yang masih mahram adalah antara pusar hingga paha. Sedangkan di hadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan” (Hasyiatul Jamal Ala’ Syarh Al Minhaj, 411)
* Syaikh Muhammad bin Qaasim Al Ghazzi, penulis Fathul Qaarib, berkata:
وجميع بدن المرأة الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وهذه عورتها في الصلاة ، أما خارج الصلاة فعورتها جميع بدنها
“Seluruh badan wanita selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh badan” (Fathul Qaarib, 19)
* Ibnu Qaasim Al Abadi berkata:
فيجب ما ستر من الأنثى ولو رقيقة ما عدا الوجه والكفين . ووجوب سترهما في الحياة ليس لكونهما عورة ، بل لخوف الفتنة غالبًا
“Wajib bagi wanita menutup seluruh tubuh selain wajah telapak tangan, walaupun penutupnya tipis. Dan wajib pula menutup wajah dan telapak tangan, bukan kerana keduanya adalah aurat, namun kerana secara umum keduanya cenderung menimbulkan fitnah” (Hasyiah Ibnu Qaasim ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 3/115)
* Taqiyuddin Al Hushni, penulis Kifaayatul Akhyaar, berkata:
ويُكره أن يصلي في ثوب فيه صورة وتمثيل ، والمرأة متنقّبة إلا أن تكون في مسجد وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر ، فإن خيف من النظر إليها ما يجر إلى الفساد حرم عليها رفع النقاب
“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang bergambar atau lukisan. Makruh pula wanita memakai niqab (purdah) ketika solat. Kecuali jika di masjid keadaanya susah dijaga dari pandnagan lelaki ajnabi. Jika wanita khuatir dipandang oleh lelaki ajnabi sehingga menimbulkan kerosakan, haram hukumnya melepaskan (tidak memakai) niqab (purdah)” (Kifaayatul Akhyaar, 181)

Mazhab Hambali
* Imam Ahmad bin Hambal berkata:
كل شيء منها ــ أي من المرأة الحرة ــ عورة حتى الظفر
“Setiap bahagian tubuh wanita adalah aurat, termasuk pula kukunya” (Dinukil dalam Zaadul Masiir, 6/31)
* Syeikh Abdullah bin Abdil Aziz Al ‘Anqaari, penulis Raudhul Murbi’, berkata:
« وكل الحرة البالغة عورة حتى ذوائبها ، صرح به في الرعاية . اهـ إلا وجهها فليس عورة في الصلاة . وأما خارجها فكلها عورة حتى وجهها بالنسبة إلى الرجل والخنثى وبالنسبة إلى مثلها عورتها ما بين السرة إلى الركبة
“Setiap bahagian tubuh wanita yang baligh adalah aurat, termasuk pula sudut kepalanya. Pendapat ini telah dijelaskan dalam kitab Ar Ri’ayah… kecuali wajah, kerana wajah bukanlah aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, semua bahagian tubuh adalah aurat, termasuk wajahnya jika di hadapan lelaki. Jika di hadapan sesama wanita, auratnya antara pusar hingga paha” (Raudhul Murbi’, 140)
* Ibnu Muflih berkata:
« قال أحمد : ولا تبدي زينتها إلا لمن في الآية ونقل أبو طالب :ظفرها عورة ، فإذا خرجت فلا تبين شيئًا ، ولا خُفَّها ، فإنه يصف القدم ، وأحبُّ إليَّ أن تجعل لكـمّها زرًا عند يدها
“Imam Ahmad berkata: ‘Maksud ayat tersebut adalah, janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang yang disebutkan di dalam ayat‘. Abu Thalib menukil penjelasan dari beliau (Imam Ahmad): ‘Kuku wanita termasuk aurat. Jika mereka keluar, tidak boleh menampakkan apapun bahkan khuf (semacam kaus kaki / sarung kaki), kerana khuf itu masih menampakkan lekuk kaki. Dan aku lebih suka jika mereka membuat semacam kancing tekan di bahagian tangan’” (Al Furu’, 601-602)
* Syeikh Manshur bin Yunus bin Idris Al Bahuti, ketika menjelaskan matan Al Iqna’ , ia berkata:
« وهما » أي : الكفان . « والوجه » من الحرة البالغة « عورة خارجها » أي الصلاة « باعتبار النظر كبقية بدنها »
“’Keduanya, iaitu dua telapak tangan dan wajah adalah aurat di luar solat kerana adanya pandangan, sama seperti anggota badan lainnya” (Kasyful Qanaa’, 309)
* Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata:
القول الراجح في هذه المسألة وجوب ستر الوجه عن الرجال الأجانب
“Pendapat yang kuat dalam masalah ini adalah wajib hukumnya bagi wanita untuk menutup wajah dari pada lelaki ajnabi” (Fatwa Nurun ‘Alad Darb, http://www.ibnothaimeen.com/all/noor/article_4913.shtml)

Isu Pengharaman Pemakaian Purdah Di IPT.
            Sekarang ini ramai yang membahaskan tentang isu pengharaman pemakaian purdah oleh mahasiswi IPT. Isu ini bermula apabila isu pengharaman pemakaian purdah di kalangan Universiti Al-Azhar berlaku. Oleh itu terdapat beberapa Universiti tempatan yang mengikut jejak langkah tersebut dan mengharamkan pemakaian purdah oleh mahasisiwi di dalam kampus.
            Isu ini terjadi apabila terdapatnya kes dimana terdapat seorang pelajar lelaki yang berpakaian perempuan dan berpurdah yang masuk ke hostel perempuan untuk tujuan yang tidak baik. Oleh itu, pihak Universiti mengambil tindakan mengharamkan pemakaian purdah dikalangan mahasiswi di Universiti.
            Tambahan lagi, pihak Unversiti telah menjelaskan bahawa isu pengharaman ini adalah untuk tujuan keselamatan, mengelak peniruan di kalangan pelajar dan membolehkan pensyarah mengenal pelajarnya.
            Walaubagaimanapun, berdasarkan tinjauan terhadap pensyarah, mereka tidak mempunyai apa-apa masalah dengan pelajar yang berpurdah. Mereka masih dapat mengenal pelajar mereka walaupun pelajar mereka berpurdah. Jadi, disini tidak timbul isu dimana pensyarah tidak kenal akan pelajarnya.
            Isu ini merupakan isu yang sensitif kerana ia melibatkan isu agama. Disini saya ingin menyatakan penyelesaian yang diutarakan oleh TNC UUM, Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim, sewaktu perbincangan bersama beberapa orang mahasiswa/wi tengah hari 22 September 2013, iaitu tidak salah sekiranya pemakai purdah diminta untuk membuka purdah hanya untuk pengecaman muka dan mengelakkan penipuan berlaku sewaktu peperiksaan berjalan. Bukannya terus mengharamkan pemakaian purdah di kalangan mahasiswi.
            Isu ini masih berada di peringkat pembincangan. Saya sebagai salah seorang mahasiswi yang mempunyai sahabat yang berniqab berharap sangat bahawa isu ini dapat diketengahkan. Negara kita merupakan negara Islam, pendapat saya tidak salah sekiranya kita mengikut apa yang dianjurkan oleh Agama Islam. Berniqab bukanlah suatu kesalahan tetapi ia menaik dan menjaga kehormatan sesorang wanita Islam itu sendiri. Wanita berniqab juga dapat membantu negara dalam mengurangkan kes jenayah rogol yang semakin meningkat dari hari ke hari.
            Jadi disini, saya tidak nampak dimana masalahnya jika seorang wanita atau mahasiswi itu berniqab atau berpurdah. Malah ia membantu bukan sahaja mahasiswi itu sendiri, tetapi ia juga membantu agama, bangsa dan negara. Wallahualam. Saya memohon maaf jika entri ini ada menyinggung mana-mana pihak. Di sini, saya hanya melontarkan pendapat saya dan hanya menyiapkan tugasan yang diberikan kepada saya.


DISEBALIK PURDAH ITU

Disebalik purdah itu,
terpahat suatu keindahan, ukiran dan goresan
daripada Maha Pencipta...

Disebalik purdah itu,
terpancar cahaya Iman, yang melindungi si pemakainya
daripada fitnah dunia...

Dan,

Disebalik purdah itu, tersimpan suatu rahsia
Kunci rasia itu berada pada yang berhak memilikinya,
sebagai hadiah terunggul,
daripada Yang Maha Esa..